Tuesday, December 22, 2009

'Aduan Rakyat' di TV3 mulai 6 Januari



DARI kiri, Ahmad, Farid, Johan, Ahmad Fuad, Kartini Lahi yang menjadi pengadu pertama mendapat manfaat menerusi Program Aduan Rakyat di Sri Pentas TV3, semalam. Turut kelihatan Karam Singh, Puspavathy, Loo dan Jaffry Azman.

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen terkemuka, TV3 akan menyiarkan sebuah program majalah bertajuk 'Aduan Rakyat' bermula 6 Januari depan, khusus untuk mengetengahkan aduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Program 13 episod dengan tagline 'TV3 Ambil Berat' yang bersiaran selama 30 minit setiap Rabu jam 9 malam itu akan memberi fokus kepada masalah rakyat termasuk komuniti, kerosakan harta benda awam, ketidakadilan dalam isu pengguna, kekurangan dalam infrastruktur kepada golongan kurang upaya, pengangkutan awam dan perkhidmatan sektor awam.

Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Ahmad A Talib, berkata program itu tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak yang berkaitan sebaliknya bertujuan memaparkan masalah yang dihadapi rakyat dan mencari penyelesaian dengan kerjasama kerajaan tempatan, pemaju dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Tidak semua masalah rakyat diketahui oleh pihak berwajib, justeru kita akan memainkan peranan untuk mengetengahkan masalah itu bagi perhatian mereka.

"Kita akan memastikan laporan dilakukan dengan adil dan mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak," katanya selepas pelancaran logo Aduan Rakyat di Sri Pentas di sini, malam tadi.

"Justeru, aduan rakyat adalah platform terbaik rakyat Malaysia membuat apa saja aduan," katanya.

Beliau berkata, penonton boleh mengetahui mengenai penyelesaian bagi sesuatu isu melalui Buletin Utama sebelum mengikuti perkembangan dan susulan selanjutnya dalam Aduan Rakyat.

Pendapat kawan:- Usaha yg dibuat dek TV3 ni ada faedahnya.Senang sikit orang nak mengadu.Tapi mungkin sebab tempat lain dah tak boleh ngadu agaknya,sebab tu datang ke TV3.Mintak2 lepas ni,orang yang BERKENAAN atau BERTANGGUNGJAWAB akan lebih ambik tau hal orang setempat.Masalah pun kurang,ye dak?Jangan setakat ambik keuntungan sudahlah!

No comments: